}

Thursday 24 April 2014

BINAAN DAN STRUKTUR AYAT DALAM TUHFAT AL-NAFIS


ANALISIS BINAAN DAN STRUKTUR AYAT
DALAM TUHFAT AL-NAFIS

Nurul Artiqah binti Azman
Universiti Pendidikan Sultan Idris
armatiqah@yahoo.com


ABSTRAK


Kajian ini bertujuan untuk menganalisis binaan dan struktur ayat dalam karya agung. Karya agung ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Dalam kajian ini, pengkaji ingin menganalisis binaan dan struktur ayat dalam karya klasik dengan mengambil kira perbezaan bahasa Melayu klasik dengan bahasa Melayu moden kini. Oleh itu, pengkaji memilih karya agung Tuhfat al-Nafis sebagai karya yang akan dikaji. Karya agung Tuhfat al-Nafis merupakan sebuah karya kitab sejarah yang terpenting dalam kesusasteraan Melayu. Kitab ini merupakan karya Tun Sri Lanang, seorang Bendahara Johor sekitar tahun 1612. Ketika itu negeri Johor diperintah oleh Sultan Alauddin Riayat Shah III sekitar tahun 1597 hingga 1615.


1.0              Pengenalan
Pembentukan sesebuah ayat memerlukan kata. Seterusnya kata itu dirangkai dengan kata yang lain menjadi frasa, lalu frasa digabungkan dengan frasa lain menjadi klausa atau ayat. Dapat disimpulkan bahawa ayat dibentuk bermula daripada penyusunan perkataan-perkataan untuk membentuk frasa, klausa dan ayat. Cabang dalam linguistik yang mengkaji pembentukan ayat inilah yang dikenal sebagai sintaksis.

Asal usul perkataan “sintaksis” ini berasal daripada perkataan Yunani, iaitu “sun” yang bererti “dengan” dan “tettein” yang bererti sebagai “menempatkan kata-kata secara bersama-sama secara etimologi, sintaksis dapat diertikan sebagai “menempatkan kata-kata secara bersama-sama untuk menjadi kelompok kata atau ayat”. Menurut istilah, sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan atau konstruksi ayat (Nik Safiah Karim et. al. 1993).

TOKOH KARYA AGUNG TUN SRI LANANG DAN RAJA ALI HAJI


 TUN SRI LANANG




Tun Muhammad atau lebih dikenali dengan nama Tun Sri Lanang merupakan Bendahara Paduka Raja Johor semasa pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II, Sultan Alauddin Riayat Shah III, dan Sultan Abdullah Ma’ayat Shah. Beliau dilahirkan di Seluyut pada tahun 1565. Beliau terlibat dalam perancangan menawan semula Melaka pada tahun 1586, 1587, dan tahun 1606. Terdapat kaitan salasilah Raja Ahmad dengan Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang. Beliau menyusun pertahanan Johor bagi menghadapi serangan Portugis dan Acheh. Beliau menjadi utusan Johor ke Goa untuk berunding dengan Portugis pada tahun 1583. Beliau telah menyusun kitab Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) pada tahun 1612. Beliau juga bertanggungjawab dengan Admiral Matelief pada 23 September 1606 untuk mempertahankan Johor daripada serangan Acheh.

PEMIKIRAN (ISI DAN MESEJ) KARYA AGUNG

PEMIKIRAN



Dalam Hikayat Hang Tuah (HHT) kita banyak disogokkan dengan kehebatan Hang Tuah sebagai pahlawan Melayu meneroka bukan sahaja dunianya tetapi juga dunia luar (Rom, India, China, Arab) termasuk juga alam ghaib. Isinya yang padat dengan pelbagai episod, peristiwa, kejadian : kehebatan paras rupa yang tiada tolok bandingannya, para hulubalang yang gagah perkasa, persengketaan, kekejaman, hasad dengki dan pelbagai mala petaka. Ceritera yang begitu luas bertujuan semata-mata untuk menonjolkan kebesaran dan kekuasaan raja atau kerajaan Melayu.

Kedatangan Islam, misalnya walaupun diselit dengan unsur mitos/Hindu mempunyai pemikiran yang tersendiri untuk menggambarkan kehebatan. sebagai contoh untuk menunjukkan keabsahan asal usul raja-raja Melayu, pengarang menyatakan bahawa raja Melayu "diturunkan oleh Allah Taala dari keinderaan (HHT:8). Dalam Salatus al Salatin (SAS) raja Melayu dikaitkan dengan Iskandar Zulkarnain seorang raja yang hebat dari bangsa Yunani yang dikatakan beriman dengan agama Nabi Ibrahim.

Seri Lanang Jaya et. al. (2013). Penghayatan karya Agung Melayu. Tanjong Malim :          Universiti Pendidikan Sultan Idris.

NILAI ILMU DAN MAKLUMAT

NILAI ILMU DAN MAKLUMAT


1.0       PENGENALAN
Secara umumnya karya agung boleh difahami sebagai karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Pengertian Karya Agung Melayu dan Karya Agung Dunia Melayu mempunyai perbezaan. Karya Agung Melayu bermaksud Karya Agung yang ditulis atau diungkap atau dilisankan dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira perbezaan kelompok, bangsa,etnik dalam kawasan dunia Melayu ini manakala Karya Agung Dunia Melayu pula bermaksud Karya Agung yang terdapat di kawasan Dunia Melayu yang terdapat dalam bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Melayo-Polinesia yang lain.
            Karya Agung Melayu merupakan salah satu warisan Melayu yang harus dipelihara dengan baik. Hal demikian kerana Karya Agung merupakan cerminan yang dapat menceritakan kehidupan masyarakat Melayu pada zaman dahulu khususnya ketika zaman pemerintahan Melayu Melaka. Penelitian terhadap kandungan Karya Agung Melayu dapat membantu kita mengenali dengan lebih dekat berkenaan struktur sosial, budaya, agama serta nilai atau norma-norma kehidupan yang diamalkan masyarakat Melayu ketika itu.
Menyingkap kembali kata-kata keramat Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah “Takkan Melayu hilang di dunia”, jelas memerlukan usaha kita sebagai generasi pewaris warisan Melayu untuk terus mengenali dan memperkasa jati diri Melayu. Salah satu caranya ialah dengan meneliti kembali karya-karya dahulu bagi mendapatkan gambaran sebenar kehidupan masyarakat pada waktu itu.
Penelitian tentang nilai ilmu dan maklumat dalam sesebuah karya agung dapat membantu kita menjejaki cara hidup nenek moyang kita pada waktu dahulu. Contohnya seperti ilmu jampi, ilmu pengasih, dan ilmu pendukunan yang sememangnya merupakan suatu amalan bagi masyarakat terdahulu. Jika dilihat pada peredaran masa sekarang, banyak nilai ilmu yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dahulu ditinggalkan kerana ada diantaranya yang bertentangan dengan agama Islam, malahan tidak lagi relevan pada masa kini. Namun, itulah hakikat yang perlu kita ketahui dan selami kerana nilai-nilai ini telah lama terserap dalam diri seorang Melayu.

Tuesday 22 April 2014

IDEALISME DAN FALSAFAH MELAYU

IDEALISME

Idealisme adalah sifat (sikap atau perbuatan) melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal, sifat (sikap, cita-cita dan sebagainya) menghasratkan yang unggul (yang sempurna) (Kamus Dewan edisi keempat, 2010: 558). Idealisme adalah aliran yang menilai tinggi angan-angan (idea) dan cita-cita (ideal) sebagai hasil perasaan daripada dunia nyata. Aliran ini pada awalnya dikemukakan oleh Socrates (469-399 SM) yang dilanjutkan oleh muridnya yang bernama Plato (427-347 SM.). Idealisme mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Antara kelebihan idealisme ialah idealisme berteraskan kesedaran intelek dan sistem berfikir secara rasional dan logik untuk mengenal pasti sesuatu kebenaran. Logik adalah alat untuk menentukan tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan pada satu-satu situasi. Falsafah ini lebih bersifat statik, stabil, dan sukar berubah. Walaupun begitu, idealisme tetap mempunyai kelemahan. Keadaan ini disebabkan oleh, anggapan terhadap sesuatu nilai atau kebenaran yang kekal sepanjang masa masih tidak mendapat persetujuan serentak daripada manusia tentang beberapa perkara. Logik adalah kunci asas idealisme tetapi tidak semuanya boleh digunakan kerana terdapat perubahan dari semasa ke semasa.

FALSAFAH DAN BIDANGNYA

Falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran.  secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran.  Tegasnya 'berfalsafah' ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran, tentang segala sesuatu yang dimasalahkan dengan berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat.  Apabila seseorang berfikir demikian dalam menghadapi masalah dalam hubungannya dengan mencari kebenaran, adalah orang itu telah memasuki falsafah.  penuturan dan huraian yang tersusun oleh pemikirannya itu adalah falsafah .  Daripada pendapat tersebut , rumusan dapat dibuat bahawa falsafah seharusnya ditandai dengan caranya iaitu berfalsafah, dan juga masalahnya iaitu persoalan falsafah.


ESTETIK DALAM KARYA AGUNG

KEINDAHAN GAYA BAHASA PERSONAFIKASI (MAKNA LUARAN) BERDASARKAN KARYA AGUNG SULALATUS SALATIN.

Dalam Sulalatus Salatin, Tun Sri Lanang menggunakan gaya bahasa yang indah untuk memerikan sesuatu hal. Selain itu, penyisipan beberapa unsur lain dapat mengindahkan bahasa supaya mempunyai nilai seni tinggi dan menarik. Sulalatus Salatin turut menggunakan bahasa Melayu klasik. Buktinya, ia menggunakan ayat yang panjang, banyak menggunakan kata pangkal ayat dan istilah-istilah klasik. Selain itu, keunikan teks ini juga boleh dilihat berdasarkan penggunaan bahasa dalam penghasilannya berdasarkan kepada makna dalaman dan makna luaran. Setiap makna tersebut mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dan bidangnya sangat luas untuk dibincangkan. Makna dalaman merupakan makna yang hanya diketahui oleh penulis dan mereka sahaja yang boleh merumuskannya. Manakala, Makna luaran merupakan makna yang disepakati oleh pembaca. Oleh itu, makna luaran kelihatan lebih menari untuk diketengahkan kerana ia memberi fokus terhadap pembaca. Kita dapat melihat bagaimana bangsa Melayu dahulukala dapat berfikir secara kreatif, bijaksana dan mendalam dalam bahasanya sendiri. Mereka mampu berfikir melalui bahasa figuratif, bahasa metafora, tidak hanya melalui bahasa literal dan melalui fikiran yang linear tetapi juga secara lateral dan kreatif.

Monday 21 April 2014

CIRI-CIRI KARYA AGUNG MELAYU

Sesebuah karya kesusasteraan diangkat sebagai karya agung berdasarkan ciri-ciri yang ada pada karya berkenaan.  Namun, perlu diingat bahawa tidak ada ukuran yang sejagat berkaitan ciri-ciri ini.  Hal ini demikian kerana setiap karya sastera lahir daripada tradisi, budaya dan tamadun yang berbeza-beza. Penelitian ciri-ciri Karya Agung Melayu dibuat berdasarkan aspek-aspek yang berikut:

  1. Pemikiran dalam Karya Agung
  2. Estetika dan Kepengarangan Karya Agung
  3. Nilai Budaya dan Pandangan Hidup dalam Karya Agung Melayu
  4. Nilai Ilmu dalam Karya Agung Melayu
  5. Falsafah dalam Karya Agung Klasik dan Moden.

KONSEP KARYA AGUNG MELAYU

KARYA AGUNG ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Kita mengenal tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.

KARYA AGUNG MELAYU ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera ini.

RETORIK DALAM TUHFAT AL-NAFIS

TUHFAT AL-NAFIS

Tuhfat al-Nafis merupakan kitab sejarah Melayu yang terpenting dalam kesusasteraan Melayu selepas Sejarah Melayu. Karya agung ini merupakan sebuah karangan sejarah, iaitu dimulakan oleh Raja Haji Ahmad, dan diteruskan hingga selesai oleh anaknya iaitu Raja Ali Haji. Tuhfat al-Nafis memaparkan tentang kebudayaan, ketinggian dan kemakmuran pedagangan kerajaan negeri Johor. Secara ringkasnya, ia menceritakan bagaimana pembabitan orang-orang Bugis bermula di Tanah Melayu.

RETORIK DALAM TUHFAT AL-NAFIS

1. Retorik pendedahan,  contohnya:


Syahadan apabila mangkatlah ia menggantikan kerajaannya puteranya yang bernama Raja Mahmud bergelar Sultan Mahmud Syah.  Maka masa kerajaan baginda inilah membunuh saudaranya itu, iaitu Raja Zainal, kerana Raja Zainal itu adalah baik parasnya cantik manis, memberi ghairat segala hati perempuan melihatnya.  Dan banyak anak-anak orang Melaka berahikan dia hingga anak-isteri orang tiadalah berketurunan mengidah Raja Zainal itu dengan bunga bergubah dan sirih bersulur.  Mana-mana yang berkenan diambilnya dan mana-mana yang tiada diberikannya kepada segala juak-juaknya.  Maka cabullah negeri Melaka  itu dengan hal yang demikian itu.  Maka menyuruhlah Sultan Mahmud itu akan seorang hambanya menikam Raja Zainal itu malam-malam pada tempat tidurnya.  Maka matilah Raja Zainal itu digemparkan oleh orang-orang negeri itu mengatakan Raja Zainal mati ditikam oleh pencuri konon adanya.

( Halaman 7:3)

2. Retorik penerangan. Contohnya:

Maka raja muda pun membunuh isterinya lalulah ia keluar mengamuk pula, kerana fikirannya daripada isterinya diambil Minangkabau diperbuatnya gundik, terlebih baik biar hilang sekali.  Kemudian Raja Muda pun mengamuklah menyerbukan dirinya kepada pihak sebelah Raja Kecik itu.  Lalu berkejar-kejaran hambat-berhambat hingga sampai ke Kayu Ana nama tempat itu.  Maka Raja Muda pun mangkatlah di situ, sebab sabur menyabur orang beramuk itu.
(Halaman 57:4)

Saturday 12 April 2014

HIKAYAT HANG TUAH


Hikayat Hang Tuah (HHT) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur yang dikendalikan oleh Kassim Ahmad. HHT sebuah karya epik yang berbentuk prosa yang mengandungi lebih daripada 500 halaman dengan lebih kurang 164,000 patah-perkataan. HHT ini telah dihasilkan pada akhir kurun ke-17. Karya ini juga disebut Valentijin Kitab Hantoewa menurut Francois Valentijin dalam karyanya Oud en Nieuw Oost-Indien (1728). Tambahnya lagi, karya ini biasanya dinamakan oleh Sarjana Melayu Sulatas-Salatin iaitu Sultan-Sultan Melaka.

HHT merupakan sebuah epik kebangsaan. Epik ini telah menegemukakan watak Hang Tuah sebagai tokoh agung bagi bangsa Melayu dan sebagai lambing kemegahan dan kekuatan bangsa Melayu. Menurut Kassim Ahmad (1992: xvi) kebangunan, kebesaran dan kejatuhan Melaka berhubung rapat dengan tokoh Hang Tuah. Ini bermaksud, apabila Hang Tuah kecil Melaka baharu didirikan. Apabila Melaka besar dialah menjadi orang kanan bersama Bendahara, di dalam urusan pentadbiran dan di dalam urusan keselamatan di dalam negeri suaranya muktamad. Apabila ia jatuh sakit Melaka diancam oleh Portugis dan terus kalah apabila ia berundur dari perkhidmatan negara. Tidak lain, Hang Tuah ialah lambang kekuasaan dan kebesaran Melaka. Di dalam hidupnya tercatat riwayat Kerajaan Melayu Melaka dan bangsa Melayu dalam zaman Feudel yang sudah lampau. Selain daripada itu, watak Hang Tuah sebagai pahlawan yang taat setia kepada raja yang sanggup menyelami mahkota dan keris raja yang jatuh ke dalam laut.




Manuskrip Hikayat Hang Tuah
Sumber: Jabatan Warisan Negara



Sinopsis Hikayat Hang Tuah Karya Kassim Ahmad


HIKAYAT HANG TUAH
          Hikayat Hang Tuah mengisahkan mengenai kehidupan dan kepahlawanan Hang Tuah yang lebih kepada unsur mitos dan juga rekaan sahaja. Hikayat Hang Tuah mengemukakan pengalaman-pengalaman hidup yang tulin dan disuburkan unsur-unsur mitos, rekaan dan dengan membesar-besarkan peristiwa-peristiwa yang mengakibatkan Hang Tuah[1].

          Hikayat Hang Tuah menceritakan mengenai latar belakang Hang Tuah mengenai asal usul misalnya pengenalan mengenai ahli keluarga. Dang Merdu merupakan ibu kepada Hang Tuah dan ayahnya pula bernama Hang Mahmud.Hang Tuah berasal daripada Sungai Duyung di sana. Namun terdapat beberapa fakta yang menyatakan bahawa Hang Tuah tinggal di pucuk  hulu Sungai Perak dan menjadi raja.[2] Hang Tuah hanyalah golongan rakyat jelata yang biasa sahaja, ayahnya Hang Mahmud menyara keluarganya dengan berkedai  dan mencari kayu. Pada satu malam, Hang Mahmud telah bermimpi bulan turun dari langit dan cahaya memenuhi kepala anaknya Hang Tuah. Mimpi itu menandakan satu kebaikkan kepada Hang Mahmud sekeluarga. Hang Tuah berjaya menewaskan orang yang mengamuk di kampungnya, keberanian Hang Tuah amat dikagumi oleh penduduk kampung. Hang Tuah bertemu dengan beberapa kawan baru iaitu Hang Jebat, Hang Lekiu, Hang Lekir dan Hang Kasturi dan mereka berguru dengan Sang Aria Putra di Bukit Pancasula. Ilmu yang ada ini menyebolehkan mereka mempertahankan Bendahara Paduka Raja yang hampir menjadi mangsa amukan pengamuk-pengamuk. Keberanian lima bersahabat ini menyebabkan mereka dihadiahkan oleh Bendahara itu sepersalinan pakaian dan dilantik menjadi biduanda baginda.

DEFINISI DAN ETIMOLOGI MELAYU.

KONSEP MELAYU

Definisi awal istilah Melayu.


M. Ptolemy menggunakan istilah maleu-kolon dalam karyanya yang berjudul Geographike Sintaxis. Kitab Hindu Purba juga terdapat perkataan malaya-dvipa. Terdapat juga catatan orang Cina yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yue mengirimkan utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar tahun 644-645 Masihi.
                   
            Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Bhudda bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi, iaitu kerajaan Melayu di Sungai Batang dan Kerajaan Sriwijaya di Palembang. Catatan dalam kesusasteraan China menyatakan bahawa pengembara yang singgah di Nusantara mendapati bahawa bahasa yang digunakan penduduk di situ ialah bahasa K'un'-lun. Bahasa ini dipercayai oleh penyelidik sebagai bahasa Melayu kuno. Manakala sebuah patung di Padang Rocore, Batanghari bertarikh 1286 M dengan catatan perkataan "Malaya" atau "Melayu"  pada bahagian belakangnya. Oleh hal yang demikian, buku Sejarah Melayu mengaitkan perkataan Melayu dengan nama sebatang sungai yang deras alirannya, iaitu Sungai Melayu.

Definisi Melayu dari segi etimologi.

Etimologi bermaksud kajian asal usul dan sejarah sesuatu perkataan serta makna perkataan tersebut. Dari segi etimologi, perkataan Melayu berasal daripada perkataan Malaya, iaitu kependekan "hima alaya". "Alaya" bermaksud tempat  manakala "hima alaya" bermaksud tempat bersalji. Selain itu, terdapat juga perkataan Malayapura yang bermaksud "Kota Melayu" atau "kerajaan Melayu". Perkataan ini dipercayai diambil daripada perkataan Jawa kuno , "mlayu" yang bermaksud "mengembara" atau "pergi ke mana-mana". Perkataan ini dikatakan diambil dari nama sebatang sungai iaitu Sungai Melayu yang ada disebut dalam buku Sejarah Melayu. Van der Tuuk berkata, perkataan Melayu bererti "menyeberang" yang merujuk kepada orang Melayu yang menyeberang atau menukar agama daripada Hindu-Buddha kepada Islam.


Jenis-jenis retorik


Menurut Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012), retorik terbahagi
kepada enam jenis, iaitu:

a) Pemerian
Kebiasaannya retorik jenis pemerian ini hadir ketika penulis ingin melakukan penjelasan atau huraian berkaitan sesuatu idea. Retorik ini bermatlamat untuk menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar. Di antara cirri-ciri pemerian ialah dilaksanakan secara objektif, tepat dan jelas. Contohnya memberi gambaran secara realistic berdasarkan fakta yang konkrit. Kedua, bahasa yang digunakan adalah jelas dan tersusun. Struktur penulisannya juga mempunyai pendahuluan, huraian dan kesimpulan dan yang ketiga teknik ini bersifat deskriptif dan informative. Deskriptif bermaksud maklumat yang disampaikan secara huraian manakala informative pula adalah maklumat yang disampaikan secara pemberitahuan.

b) Pemujukan
Retorik pemujukan atau pengaruhan lazimnya akan melibatkan bahasa pujukan bagi mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain agar mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan. Ciri-ciri retorik pemujukan ialah menggunakan bahasa yang manis, menarik dan mementingkan kehalusan berbahasa. Hal ini bertujuan menarik khalayak berdasarkan pengaruh psikologi dengan menyatakan kehebatan atau kebaikan Sesutu yang sedang diperkatakan. Kebiasaannya kita temui retorik ini dalam pengiklanan.

c) Penerangan
Seterusnya ialah retorik penerangan. Retorik ini berfungsi untuk memberi penjelasan berkenaan sesuatu perkara dengan lebih terperinci dan tersusun misalnya dari satu langkah kepada langkah yang lain dan dari satu bahagian kepada bahagian yang seterusnya.

Thursday 10 April 2014

TOKOH KARYA AGUNG MELAYU ( ABDUL SAMAD AL - FALIMBANI DAN MUNSYI ABDULLAH)

ABDUL SAMAD AL-FALIMBANI

Latar belakang

  • Dikenali dengan tiga nama iaitu Samad Al - Jawi Al - Falimbani, Abdul Samad bin Abdullah Al - Jawi, dan Sayyid Abdul Al - Samad bin Abdul Rahman Al- Jawi.
  • Dilahirkan pada 1704 Masihi bersamaan dengan 1116 H di Palembang, Indonesia.
  • Berasal daripada keturunan Arab sebelah bapa iaitu Syed Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahab bin Syeikh Ahmad Al - Mahdani.
  • Ayah beliau merupakan seorang ulama yang berasal dari Yaman dan seterusnya dilantik menjadi Mufti Kedah pada awal abad ke-18.

Pendidikan
  • Mendapat pendidikan asas daripada bapanya sendiri di Kedah.
  • Bapanya menghantar beliau mengaji ilmu pondok di Pattani, Thailand. Antara gurunya di Pattani ialah Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauk Bok.
  • Beliau mempelajari ilmu sufi daripada Syeikh Muhammad bin Samman di samping mendalami kitab - kitab Tasawwuf.
  • Beliau mendalami bidang Tasawwuf dengan mempelajari ilmu itu daripada Syeikh Abdul Rauf Singkel dan Syamsuddin Al - Sumaterani yang kedua - duanya berasal dari Acheh.
  • Kemudian, bapanya menghantar beliau ke Tanah Arab dan Madinah untuk mendalami ilmu agama Islam.
  • Antara teman seperguruan beliau sewaktu menuntut ilmu Adi Mekah ialah Muhammad Arsyad Al - Banjari, Abdul Wahab Bugis, dan Daud Al - Fatani yang kesemuanya menjadi ulama Nusantara yang terkenal.

Antara karya yang dihasilkan oleh beliau
  1. Zuhrah Al - Murid Fi Bayan Kalimah Al - Tauhid
  2. Hidayah Al - Salikin Fi Suluk Maslak Al - Muttaqin
  3. Sayr Al - Salikin Ila Ibadat Rabb Al - Alamin
  4. Tuhfat Al - Raghibin Fi Bayan Haqiqat Iman Al - Mukminin
  5. Al - Urwah Al - Wusqa Wa Silsilah Ulil - Ittiqa' 
  6. Ratib' Abdul Samad
  7. Zad Al - Muttqin Fi Tauhid Rabb Al - 'Alamin

Kesusasteraan Melayu

Kesusasteraan Melayu tradisional dicipta melalui dua tradisi, iaitu tradisi lisan dan tradisi tulisan. Tradisi lisan menghasilkan dua bentuk sastera, iaitu sastera berbentuk cerita dan sastera yang tidak berbentuk cerita yang diungkapkan dalam bentuk puisi dan peribahasa.

SASTERA LISAN.

Berbentuk cerita atau hikayat.

  • Cerita romantis atau lipur lara
  • Cerita binatang
  • Cerita jenaka
  • Cerita asal usul
  • Mitos dan lagenda
Tidak berbentuk cerita
  • peribahasa
  • Pantun
  • Gurindam, seloka, dan teka-teki
  • Teromba
  • Mantera, jampi, serapah
SASTERA TULISAN

Berbentuk cerita
  • Syair
  • Sastera epik
  • Sastera hikayat
  • Sastera panji dan perwayangan
  • Kisah para Nabi dan tokoh Islam
  • Sastera sejarah yang bercorak mitos dan lagenda, sejarah yang sebenar dan salasilah
Tidak berbentuk cerita
  • Sastera undang-undang
  • Sastera sains tradisional
  • Sastera metafizik/tasawuf
  • Sastera kitab (tentang ilmu agama, syariah, dan lain-lain)