TUN SRI LANANG
Tun Muhammad atau lebih
dikenali dengan nama Tun Sri Lanang merupakan Bendahara Paduka Raja Johor
semasa pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II, Sultan Alauddin
Riayat Shah III, dan Sultan Abdullah Ma’ayat Shah. Beliau dilahirkan di Seluyut
pada tahun 1565. Beliau terlibat dalam perancangan menawan semula Melaka pada
tahun 1586, 1587, dan tahun 1606. Terdapat kaitan salasilah Raja Ahmad dengan
Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang. Beliau menyusun pertahanan Johor bagi
menghadapi serangan Portugis dan Acheh. Beliau menjadi utusan Johor ke Goa
untuk berunding dengan Portugis pada tahun 1583. Beliau telah menyusun kitab
Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) pada tahun 1612. Beliau juga
bertanggungjawab dengan Admiral Matelief pada 23 September 1606 untuk mempertahankan
Johor daripada serangan Acheh.
Di Aceh, Tun Seri
Lanang dilantik menjadi Penasihat kepada Sultan Kerajaan Islam Aceh Darussalam,
iaitu Sultan Iskandar Muda (1607-1636M), Sultan Iskandar Thani (1636-1641M) dan
Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah (1641-1675M). Tun Seri Lanang juga
diangkat menjadi raja pertama Samalanga, yang terletak di pesisir timur Aceh.
Pada tahun 1613 – 1659 Masihi dan terus memerintah selama 40 tahun sehingga
kematiannya pada tahun 1659 di Lancok Samalanga, Aceh. Di Aceh, Tun Seri Lanang
bergelar Orang Kaya Dato’ Bendahara Seri Paduka Tun Seberang. Penobatan Tun
Seri Lanang menjadi raja Samalanga mendapat dukungan rakyat, kerana di samping
menjadi ahli dalam bidang pemerintahan, beliau juga mempunyai pengetahuan dalam
ilmu agama. Sultan Iskandar Muda mengharapkan dengan sifat Tun Seri Lanang ini
akan membantu pengembangan Islam di pesisir timur Aceh. Penentangan muncul dari
beberapa tokoh masyarakat yang dipimpin oleh Hakim Peut Misei yang menginginkan
kelompok mereka sendiri yang menjadi raja pertama Samalanga.
Tun Seri Lanang selalu
berguru dengan ulama-ulama terkenal di Aceh, seperti Nurdin al-Raniri, Tun
Acheh, Tun Burhat, Hamzah Fansuri, Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani. Hubungannya
yang rapat dengan Syeikh Nuruddin al-Raniri menarik kedua-duanya bertukar ilmu
ajaran Islam yang dikuasai oleh Syeikh Nuruddin, dan bahasa serta sastera
Melayu yang dikuasai oleh Tun Seri Lanang. Tun Sri Lanang dan Keluarganya
diberi penghargaan khusus di Aceh. Di samping diangkat menjadi Raja di
Samalanga dan daerah takluknya keluarganya juga diberi gelaran kebesaran dari
jabatan oleh sultan. Makamnya masih kekal di daerah Kota Blang, Samalanga
bersama-sama rumah pusaka peninggalannya. Ketokohan beliau sebagai wira,
pemerintah dan tokoh cendekiawan Nusantara memberikan sumbangan yang besar
kepada kerajaan Aceh, menukar Samalanga kepada pusat perkembangan dan
pendidikan Islam di kawasan timur Aceh selari dengan perkembangan sastera
hingga kini.
RAJA ALI HAJI
Raja Ali Haji merupakan
seorang ulama, ahli sejarah serta tokoh yang terkenal dalam arena bahasa.
Nama sebenar beliau ialah Raja Ali Haji bin Raja Ahmad dan beliau dilahirkan
pada tahun 1808 Masihi di pusat Kesultanan Riau-Lingga di Pulau Penyengat yang
merupakan kawasan pentadbiran keluarga beliau sendiri. Menurut
sejarah daripada masyarakat yang mendiami kawasan pulau tersebut, pulau ini
merupakan kawasan di mana banyak karya sastera dan kebudayaan Melayu telah
terhasil oleh tokoh Melayu yang telah wujud sepanjang abad ke-19 sehingga abad
ke-20. Tokoh tersebut termasuklah Raja Ahmad iaitu bapa Raja Ali
Haji. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1873 Masihi di tempat lahir
beliau sendiri iaitu di Pulau Penyengat dan disemadikan di kompleks makam
ibunya iaitu Engku Putri Raja Hamidah. Di sepanjang dinding bangunan
makam beliau telah diabadikan karya beliau iaitu Gurindam Dua belas yang mana
berupaya mengingatkan pengunjung yang melawat makam tersebut kepada beliau yang
merupakan penulis yang hebat.
Minat beliau dalam
bidang penulisan ini diwarisi oleh ayahanda beliau iaitu Raja Ahmad. Raja
Ahmad merupakan anak sulung kepada Raja Haji. Beliau sangat meminati bidang
sejarah dan pernah menghasilkan sebuah karya berbentuk syair iaitu Syair
Perang Johor yang menceritakan berkenan peperangan yang berlaku antara
Kesultanan Johor dan Kesultanan Acheh pada abad ke-17. Selain itu, bapa
Raja Ali Haji juga pernah menyusun sebuah puisi berkenaan sejarah orang Bugis
dan hubungannya dengan raja-raja Melayu. Bakat dan minat menulis serta
mengarang dalam diri Raja Ahmad ini telah diwarisi oleh Raja Ali Haji.
Hal ini demikian kerana sejak masih remaja, beliau telah mengikut ayahandanya
menyertai ekspedisi dan menerokai segenap wilayah yang banyak memberikan
pengalaman dan ilmu pengetahuan sehingga beliau menjadi penulis yang
hebat.
Raja Ali Haji memiliki pengetahuan yang sangat luas dalam bidang agama Islam
serta ilmu mentadbir. Hal ini demikian kerana beliau rajin mempelajari
ilmu agama daripada ulama tempatan dan luar negeri. Memiliki ilmu
pengetahuan yang banyak dalam bidang agama menjadikan beliau sebagai seorang
guru agama dan bahasa Arab di kawasan petempatan beliau. Ramai anak muda
tempatan mempelajari berkenaan ilmu agama dan bahasa Arab daripada
beliau. Beliau memiliki ilmu pentadbiran kerana sejak usia 20 tahun,
beliau sudah diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab untuk menjaga hal
ehwal kenegaraan. Selain daripada kedua-dua ilmu tersebut, beliau juga
memiliki ilmu dalam pelbagai bidang lain seperti bidang bahasa, sastera,
sejarah serta undang-undang.
SUMBER:
http://karyaagungbms.blogspot.com/2013/05/tokoh-karya-agung.html
No comments:
Post a Comment