}

Thursday 24 April 2014

BINAAN DAN STRUKTUR AYAT DALAM TUHFAT AL-NAFIS


ANALISIS BINAAN DAN STRUKTUR AYAT
DALAM TUHFAT AL-NAFIS

Nurul Artiqah binti Azman
Universiti Pendidikan Sultan Idris
armatiqah@yahoo.com


ABSTRAK


Kajian ini bertujuan untuk menganalisis binaan dan struktur ayat dalam karya agung. Karya agung ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Dalam kajian ini, pengkaji ingin menganalisis binaan dan struktur ayat dalam karya klasik dengan mengambil kira perbezaan bahasa Melayu klasik dengan bahasa Melayu moden kini. Oleh itu, pengkaji memilih karya agung Tuhfat al-Nafis sebagai karya yang akan dikaji. Karya agung Tuhfat al-Nafis merupakan sebuah karya kitab sejarah yang terpenting dalam kesusasteraan Melayu. Kitab ini merupakan karya Tun Sri Lanang, seorang Bendahara Johor sekitar tahun 1612. Ketika itu negeri Johor diperintah oleh Sultan Alauddin Riayat Shah III sekitar tahun 1597 hingga 1615.


1.0              Pengenalan
Pembentukan sesebuah ayat memerlukan kata. Seterusnya kata itu dirangkai dengan kata yang lain menjadi frasa, lalu frasa digabungkan dengan frasa lain menjadi klausa atau ayat. Dapat disimpulkan bahawa ayat dibentuk bermula daripada penyusunan perkataan-perkataan untuk membentuk frasa, klausa dan ayat. Cabang dalam linguistik yang mengkaji pembentukan ayat inilah yang dikenal sebagai sintaksis.

Asal usul perkataan “sintaksis” ini berasal daripada perkataan Yunani, iaitu “sun” yang bererti “dengan” dan “tettein” yang bererti sebagai “menempatkan kata-kata secara bersama-sama secara etimologi, sintaksis dapat diertikan sebagai “menempatkan kata-kata secara bersama-sama untuk menjadi kelompok kata atau ayat”. Menurut istilah, sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan atau konstruksi ayat (Nik Safiah Karim et. al. 1993).

Abdullah Hassan (1980)  menyatakan bahawa sintaksis merupakan istilah untuk mengkaji pembentukan ayat, iaitu bagaimana morfem dan kata disusun menjadi unit sintaksis yang kecil iaitu frasa atau menjadi klausa dan ayat merupakan unit yang terbesar. Menurut Asma Haji Omar (2009), ayat adalah unit yang paling tinggi dalam skala tatatingkat nahu. Dalam perkataan lain, dalam nahu tidak ada unit yang lebih tinggi yang mempunyai ayat sebagai unsurnya. Menurutnya lagi ayat terdiri daripada klausa yang disertai oleh intonasi ayat yang lengkap, yakni yang dimulai dengan kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan dan intonasinya menyatakan bahawa ayat itu sempurna dan selesai.

Pengkaji memfokuskan kajian terhadap binaan ayat yang mana binaan ayat itu terbahagi kepada tiga aspek, iaitu ayat inti, ayat tunggal dan ayat majmuk. Dari segi ayat inti pengkaji akan menganalisis binaan ayat Tuhfat al-Nafis berpandukan pola ayat yang terdiri daripada empat pola iaitu frasa nama + frasa nama (FN + FN), frasa nama + frasa adjektif (FN + FA), frasa nama + frasa kerja (FN + FK) dan, frasa nama + frasa sendi nama (FN + FSN). Dari segi kajian ayat tunggal pula iaitu ayat yang terdiri daripada subjek dan predikat. Ayat tunggal boleh terdiri daripada ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, ayat seruan, ayat aktif, ayat pasif, ayat songsang atau ayat nafi. Asalkan ayat itu mengandungi satu klausa sahaja. Kajian dari apek ayat majmuk pula ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu klausa.


2.0              Objektif kajian
Bahasa klasik berbeza dengan bahasa moden kini. Bahasa yang kita gunakan pada masa ini telah melalui pelbagai proses penambahbaikan dan peningkatan sehingga bahasa ini dijadikan sebagai bahasa rasmi. Binaan ayat dalam bahasa melayu moden juga lebih teratur, tersusun dan sistematik. Kajian ini mempunyai beberapa tujuan. Tujuan pertama ialah untuk menganalisis ayat dalam karya klasik Tuhfat al-Nafis. Pengkaji memfokuskan kajian terhadap binaan ayat dalam karya tersebut dari aspek ayat inti, ayat tunggal dan ayat majmuk. Objektif kedua kajian ini ialah untuk menganalisis struktur ayat dalam Tuhfat al-Nafis.

3.0              Persoalan kajian
Persoalan kajian yang terdalam dalam kajian ini adalah seperti berikut :
i.                    Bagaimanakah binaan ayat bahasa melayu klasik dalam karya Tuhfat al-Nafis.
ii.                  Bagaimanakah struktur ayat bahasa melayu klasik dalam karya Tuhfat al-Nafis.

4.0              Kepentingan kajian
Kajian ini diharap dapat mencapai tujuan utama iaitu menghasilkan kajian yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat umum. Selain itu, kajian ini juga penting sebagai penghargaan dan sanjungan terhadap bahasa melayu klasik yang mungkin boleh dilupakan oleh generasi akan datang, bahkan mungkin akan terus tenggelam. Tambahan, kajian ini juga diharap dapat digunakan sebagai rujukan para pengkaji. Oleh itu, kajian ini dijalankan dengan harapan walaupun kini bahasa melayu klasik tidak lagi digunakan namun, sebagai bangsa melayu kita perlulah mempunyai pengetahuan tentang asal usul bahasa kita.

5.0              Metodologi kajian
Bagi memenuhi keperluan kajian, kajian akan dilakukan dengan menggunakan dua kaedah iaitu kaedah kajian di perpustakaan dan kaedah kajian menganalisis binaan dan struktur ayat Tuhfat al-Nafis. Untuk melengkapkan keseluruhan bahan dan data kaedah pertama iaitu kajian perpustakaan akan dijalankan di Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

6.0              Dapatan kajian
6.1.1    Definisi konsep : Binaan ayat
Menurut Kamus Dewan Edisi keempat binaan ditakrifkan sebagai benda yang dibina, bangunan, atau susunan. Ayat pula ditakrifkan sebagai satu perkataan atau (lebih kerap lagi) serangkai perkataan yang merupakan kesatuan yang membawa sesuatu maksud, kalimat. Oleh itu boleh disimpulkan bahawa binaan ayat ialah binaan atau susunan satu perkataan atau lebih yang mempunyai kesatuan yang membawa sesuatu maksud. Setiap pembentukan ayat dalam sesuatu bahasa dikenali sebagai satu binaan atau konstruksi. Sesuatu binaan ayat bukan sekadar gabungan atau rentetan bentuk kata yang sewenang-wenang dan tidak tersusun, tetapi sebaliknya terbentuk daripada susunan beberapa unit kecil rangkai kata yang, dalam ilmu bahasa, dikenali sebagai unsure atau konstituen (Nik Safiah Karim, 2008). Ayat di bawah, misalnya, ialah satu binaan yang mengandungi dua unsur.

a)      Aini tertidur

Jelas bahawa dalam contoh ayat (a), terdapat dua unsur iaitu Aini dan tertidur. Namun begitu, pada lazimnya ayat dalam bahasa Melayu jauh lebih panjang dan kompleks daripada ayat (a), dan dapat dianalisis sebagai terdiri daripada unsur klausa, yang terkandung di dalamnya beberapa unsur frasa dan tidak hanya perkataan. Frasa yang terdapat dalam sesuatu ayat itu pun mempunyai unsur-unsur tersendiri yang terdiri daripada unsur frasa yang lebih kecil, dan setiap satu unsur frasa yang kecil itu pula mengandungi unsur perkataan.

6.1.2    Binaan ayat mengikut pola ayat dasar
 Setelah menganalisis binaan ayat dalam buku Tuhfat al-Nafis, terdapat binaan ayat inti dalam karya klasik.  Ayat  tersebut telah diterbitkan menjadi ayat terbitan berpandukan kepada empat pola ayat dasar iaitu frasa nama + frasa nama (FN + FN), frasa nama + frasa adjektif (FN + FA), frasa nama + frasa kerja (FN + FK) dan, frasa nama + frasa sendi nama (FN + FSN). Yang berikut merupakan ayat inti yang terkandung dalam karya klasik Tuhfat al-Nafis:

a)      Binaan ayat dasar frasa nama + frasa nama (FN + FN)
i)                    Adalah nama Singapura itu mula-mulanya (namanya) Temasik.
ii)                  Masa itu Sultan Pahang, Sultan Mansur Syah, kerabat baginda itu juga.
iii)                Maka tetaplah Baginda Sultan Mahmud itu jadi raja. Ms 175

b)      Binaan ayat dasar frasa nama + frasa adjektif (FN + FA)
c)      Binaan ayat dasar frasa nama + frasa kerja (FN + FK)
i)                    Adapun Raja Bayang pergi /memerintah/ ke Retih.
ii)                  Aku minta jalan (dan sebab) – nya.
iii)                (Maka) baginda pun menyuruh memanggil Raja Haji itu naik ke darat).

d)     Binaan ayat dasar frasa nama + frasa sendi nama (FN + FSN)
i)                    Perang Raja Kecik melanggar (negeri) Riau berkubu di Pulau Bayan.
ii)                  Maka Raja Manjapahit pun datanglah melanggar (ke) Singapura.
iii)                Maka pada pagi-pagi harinya ia berangkat ke pantai melihat kapal datang dari (pada) Jeddah.

Berdasarkan binaan ayat dasar mengikut empat pola ayat tersebut jelas dapat kita lihat bahawa terdapat juga binaan ayat melayu klasik yang memiliki ciri-ciri pola ayat dasar iaitu, frasa nama + frasa nama (FN + FN), frasa nama + frasa adjektif (FN + FA), frasa nama + frasa kerja (FN + FK) dan, frasa nama + frasa sendi nama (FN + FSN). Namun begitu, masih boleh dilihat binaan ayat dalam Tuhfat al- Nafis lazimnya menggunakan perkataan Maka. Agak sukar untuk kita peroleh ayat yang bermula terus dengan frasa nama melalui karya ini. Selain itu untuk mengenal pasti ayat dasar yang pendek dan ringkas juga amat sukar dicari dalam karya ini. Kebanyakkannya, binaan ayat yang terdapat panjang-panjang dan sukar untuk ditentukan mengikut pola binaan ayat dasar dalam bahasa melayu moden. Hal ini kerana setiap pola ayat dasar dalam bahasa Melayu kita haruslah dimulai dengan frasa nama sebagai subjek dan frasa adjektif, frasa kerja dan frasa sendi nama sebagai predikatnya.

6.1.3    Binaan ayat tunggal
Ahmad khair Mohd Nor  et. al. (2012), mentakrifkan ayat tunggal sebagai ayat yang terdiri daripada satu klausa. Menurutnya lagi, ayat tunggal terbina daripada dua bahagian, iaitu subjek dan predikat. Ayat tunggal boleh terbina dalam bentuk susunan biasa atau susunan songsang. Ayat tunggal juga boleh terdiri daripada ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, ayat seruan, ayat aktif, ayat pasif, ayat songsang atau ayat nafi, asalkan ayat itu mengandungi satu klausa sahaja. Yang berikut merupakan beberapa contoh ayat tunggal oleh Ahmad Khair Mohd Nor et. al. (2012).
a)      Orang ramai mengejar peragut itu. ( ayat tunggal, ayat penyata, dan ayat aktif)
b)      Mengapakah orang ramai mengejar peragut? (ayat tunggal dan ayat tanya)
c)      Kejarlah peragut itu. (ayat tunggal dan ayat perintah)
d)     Wah, cepatnya peragut itu lari! (ayat tunggal dan ayat seruan)
e)      Peragut itu dikejar oleh orang ramai. (ayat tunggal dan ayat pasif)
f)       Mengejar peragut itu, orang ramai. (ayat tunggal dan ayat songsang)
g)      Orang ramai tidak mengejar peragut itu. (ayat tunggal dan ayat nafi)

1.      Binaan ayat tunggal, ayat penyata, dan ayat aktif.
Ayat penyata menurut Asmah Haji Omar (2009) ialah ayat yang tujuannya menyampaikan berita dan tidak mensyaratkan adanya gerak balas, baik yang bersifat kebahasaan mahupun yang bersifat perbuatan fizikal. Menurutnya lagi ayat ini ditandai oleh intonasi yang tersendiri, yakni yang mempunyai nada yang menurun sebelum kesenyapan. Ahmad Khair Mohd Nor (2012) dalam Tatabahasa Asas pula mentakrifkan ayat penyata sebagai ayat yang diujarkan untuk menyatakan sesuatu. Menurutnya lagi, dalam lisan ayat penyata diakhiri dengan nada turun sebelum kesenyapan dan dalam tulisan pula ayat penyata diakhiri dengan tanda noktah. Bagi ayat aktif pula, ayat aktif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mementingkan subjek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Contohnya :
a)      Ismail makan = Ismail (subjek) + makan (predikat)
Yang berikut merupakan ayat penyata yang terdapat dalam Tuhfat al-Nafis:
h)      Maka Baginda (Sultan Mahmud) pun menyuruh menyilakan Engku Muda.
i)        Maka Engku Muda pun datanglah/ mengadap/.
j)        “Hai Abdullah, sampaikanlah/ akan/ pesanku kepada saudaraku Raja Ali.

2.      Binaan ayat tunggal dan ayat tanya
Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu hal. Dengan berdasarkan nada suara dan penggunaan perkataan tertentu (Nik Safiah Karim et. al. 2008). Ayat tanya dapat digolongkan kepada dua jenis iaitu ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan unsur tanya. Ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat yang lazimnya diucapkan dengan nada suara meninggi sebelum kesenyapan pada akhir ayat. Dalam tulisan, nada tanya ini dilambangkan oleh tanda soal (?). Ayat tanya dengan unsur tanya pula ialah ayat tanya yang mengandungi unsur tanya seperti apa, siapa, mengapa, bagaimana, di mana dan sejak bila.

 Penggunaan kata tanya boleh didapati dalam karya klasik Tuhfat al-Nafis. Kata tanya yang terdapat dalam Tuhfat al-Nafis ini boleh dilihat pada halaman-halaman tertentu buku tersebut. Antara halaman dalam buku tersebut yang mengandungi binaan ayat tanya adalah pada halaman 75, 76, 83, 116, 143, 159, 161 dan 462. Namun begitu, penggunaan ayat tanya ini bukan sahaja terdapat pada halaman tersebut malah terdapat juga pada halaman-halaman lain yang tidak dinyatakan. Yang berikut merupakan binaan ayat tanya yang terdapat dalam Tuhfat al-Nafis :

a)       “Baik mengikut ke Riau akan opu-opu ((itu, atau)) baik (pergi) ke Siak (mencari) menambah kuasa (kita) lagi?”
b)      Apa gunanya lagi, meskipun kita menang sekali ((pun)) akan isteri kita sudah habis?
c)      Bilakan tahan kita dua pasukan kelengkapannya?
d)     “Sebelah mana dirimu semua ini, jika aku berperang dengan Raja Kedah yang muda itu kelak?
e)      Maka apabila (ber)bunyi bedil-bedil, maka bertanya(lah) Raja Kecik (itu) katanya, “Itu bedil apa?”
f)       Apalah nama patik?
g)      “apa bicara Raja Haji sekarang ini?”
h)      Yang mana yang hendak dipakai oleh Raja Haji?
i)        “Mana-mana lagi wakil marhum yang hilang orang yang berenam?

Ayat tanya (a) yang terdapat dalam Tuhfat al-Nafis merupaka ayat tanya jenis yang pertama iaitu ayat tanya tanpa kata tanya. Jika diperhatikan ayat (a) itu, langsung tidak terdapat unsur tanya seperti apa, siapa, mengapa, bagaimana, di mana dan sejak bila. Berbeza pula dengan ayat tanya yang lain kerana terdapat penggunaan unsur tanya dalam ayat. Namun begitu, tidak semua unsur tanya tersebut digunakan pada awal ayat, contohnya pada ayat (e). Unsur tanya pada ayat tersebut berada di akhir ayat. Hal ini kerana dalam susunan biasa, ayat tanya dengan kata Tanya seperti  berapa, bagaimana, bila, mengapa dan kenapa dan ayat Tanya dengan kata ganti nama diri Tanya, masing-masing menduduki bahagian predikat. Walau bagaimanapun, bentuk ini boleh mengalami proses pendepanan predikat seperti berikut :

1.      (e) Maka apabila (ber)bunyi bedil-bedil, maka bertanya(lah) Raja Kecik (itu) katanya, “Itu bedil apa?”
2.      (g) “apa bicara Raja Haji sekarang ini?”
1.      (e) Maka apabila (ber)bunyi bedil-bedil, maka bertanya(lah) Raja Kecik (itu) katanya, “Apa bedil itu?”
2.      (g) “Bicara Raja Haji sekarang ini apa?”

3.      Binaan ayat tunggal dan ayat perintah.
Ayat perintah ialah ayat yang digunakan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan (Nik Safiah Karim et. al. 2008). Perintah ditujukan kepada orang kedua dengan menggunakan kata ganti nama orang kedua seperti awak, kamu, engkau dan sebagainya yang boleh digugurkan. Ayat perintah ini pula mengandungi empat jenis iaitu, ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan dan ayat permintaan. Ayat suruhan merupakan ayat yang digunakan dengan tujuan memberi perintah atau arahan. Ayat larangan ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu. Biasanya ayat ini menggunakan kata larangan seperti jangan, usah atau tak usah sebelum kata kerja. Bagi ayat silaan pula, ayat ini digunakan untuk menjemput atau mempersilakan seseorang dan mengandungi kata silaan seperti sila atau jemput, manakala ayat permintaan pula ialah ayat untuk tujuan memohon permintaan dan pertolongan. Kata permintaannya seperti minta dan tolong.
Ayat berikut merupakan ayat perintah yang terdapat dalam karya Tuhfat al-Nafis. Namun begitu ayat perintah ini agak sukar untuk didapati dalam karya ini. Hal ini kerana ayat-ayat yang digunakan dalam karya klasik ini kebanyakkannya merupakan ayat pasif. Ayat aktif memang ternyata sukar untuk ditemui. Contohnya:
Ayat perintah jenis suruhan :
a)      “Baca/lah/ doa /selamat/.”
Ayat perintah jenis larangan :
b)      “Janganlah khuatir akan Badwi-Badwi yang merompak-rompak itu.”
Ayat perintah jenis silaan :
c)      “Silakanlah naik ke darat dahulu.”
Ayat perintah jenis permintaan :
d)     Maka mintalah ia (hendak) melanggar kubu yang tinggal itu.
Kesemua jenis ayat perintah ini mengandungi kata yang tersendiri untuk dikenalpasti sebagai ayat perintah seperti jangan, silakanlah, mintalah dan bacalah. Namun begitu, ayat perintah jenis permintaan di atas boleh kita lihat sebagai mengandungi unsur kata perintah iaitu mintalah, tetapi setelah dianalisis ayat itu merupakan ayat ulasan terhadap sesuatu kejadian yang memiliki unsur permintaan. Hal ini kerana pengkaji sukar untuk menemui ayat perintah jenis permintaan ini.
4.      Binaan ayat tunggal dan ayat seruan.
Ayat seruan digunakan untuk menyatakan perasaan yang kuat, seperti rasa kagum, marah, sakit atau perasaan hairan, dan sebagainya. Seruan biasanya ditandai oleh intonasi seruan, dan dalam tulisan, intonasi seruan ditandai oleh tanda seru (!) yang biasanya terletak di akhir ayat (Ahmad Khair Mohd Nor et. al. 2012). Ayat seruan selalui didahului oleh kata seru seperti eh, cis, wah, nah, aduh, amboi dan sebagainya bergantung pada seruan yang hendak dizahirkan. Walaupun begitu, terdapat juga ayat seruan yang tidak didahului dengan kata seru ini. Setelah menganalisis ayat dalam Tuhfat al-Nafis, jelas terdapat penggunaan ayat seruan dalam karya ini. Ayat ini mudah dikenalpasti kerana diakhir ayat ini terdapat tanda seru (!) sama seperti ayat tanya yang memiliki tanda soal (?) diakhir ayat. Oleh itu, untuk mengenalpasti ayat ini bukanlah sesuatu yang sukar. Yang berikut merupakan ayat seruan dalam Tuhfat al-Nafis:

a)      “Hai Wan Dalam! Hendak didayungkan ke mana perahu bapak tiri engkau itu? Mari kita bertikam sukat aku buraikan perut/ engkau/, baharu puas hatiku!”
b)      “Cis! Sampainya hati Wan Dalam! Lain yang aku suruh, lain pula yang diperbuat.
c)      Maka Raja Abdullah pun mengatakan, “Tikam! Tikam!” Maka ditikamlah oleh panglima-panglima itu diramai-ramaikannya.
d)     Maka (marahlah) Panglima Hasan itu, maka lalu memekis menyuruh mara rapat dengan kenaikan Raja Ismail itu katanya, “Rapat! Rapat!” sambil ia berkanjar-kanjar berentaka-rentaka.
e)      “Cis! Celaka Si Hasan menderhaka rupanya?”

Jika diperhatikan, binaan ayat seruan Tuhfat al-Nafis berbeza dengan binaan ayat seruan yang digunakan pada masa ini. Kebiasaannya, binaan ayat seruan dalam bahasa Melayu kini tanda seru (!) akan berada diakhir ayat. Hal ini berbeza dengan binaan ayat seruan dalam Tuhfat al-Nafis kerana tanda seru digunakan dihadapan ayat iaitu setelah kata seru, malah tanda seru ini juga digunakan lagi untuk kali kedua dalam ayat yang sama. Kita boleh lihat pada contoh ayat seruan (b) dan ayat seruan (e).



5.      Binaan ayat tunggal dan ayat pasif
Ayat pasif terbentuk apabila frasa nama yang menjadi subjek dalam sesuatu ayat itu menjadi penderita kerana dikenai oleh kesan kata kerja pasif. Mengikut Tatabahasa Dewan (2010) dalam Ahmad Khair Mohd Nor et. al. (2012), ayat pasif dibahagiakan kepada tiga jenis. Pertama ayat pasif dengan imbuhan kata kerja pasif. Kedua, ayat pasif dengan kata ganti nama diri orang pertama dan kedua. Ketiga, ayat pasif dengan perkataan kena yang hadir sebelum kata kerja.

Ayat pasif dengan imbuhan kata kerja pasif:

a)      “Apalah mulanya jadi berbantah dengan sanak saudara dan anak buah?”
b)      Kemudian maka ( Kelana) Pangeran Suta Wijaya pun berbuat negeri di Kuala Cenako dan Pekan Lais, maka suruh-menyuruhlah ke Riau.

Kata kerja yang dicondongkan dalam ayat merupakan kata kerja pasif. Kata kerja pasif berbantah dan berbuat boleh menjadi kata kerja aktif dengan menerima imbuhan yang berfungsi sebagai penanda aktif seperti meN-, ter-, ber-, -i, -kan, mempeR-, meN-…-kan, meN-…-I, mempeR-…-kan, dan mempeR-…-i. Oleh itu kata kerja pasif dalam ayat pasif tersebut boleh menjadi membantah dan membuat.

Ayat pasif dengan kata ganti nama diri orang pertama dan kedua:

c)      Adapun Raja Sulaiman ia(lah yang ) menjadi raja diangkat oleh Bugis, iaitu opu yang lima beradik, iaitu lagi (akan) datang kisahnya di dalam siarah ini.
d)     Maka dibawa oleh orang besar-besarlah jenazah baginda itu ke Riau.

6.      Binaan ayat tunggal dan ayat nafi
Ayat nafi ialah ayat yang berfungsi untuk menyangkal atau mengingkari sesuatu. Ayat ini mengandungi kata nafi tidak atau bukan di awal frasa predikat. Yang berikut merupakan ayat nafi dalam Tuhfat al-Nafis:
a)      Sebermula adalah Sultan Abd al-Jalil itu beberapa ada puteranya yang gahara, dan yang bukan gahara, iaitu puteranya dengan gundiknya yang bernama Encik Nusamah anak orang Aceh.

6.1.4    Binaan ayat majmuk
Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua klausa atau lebih. Dua atau lebih klausa itu dicantumkan dengan cara tertentu untuk menerbitkan ayat baharu (Ahmad Khair Mohd Nor et. al. 2012) Ayat majmuk boleh dibahagikan kepada tiga jenis berdasarkan cara pembentukannya iaitu :
1.      Ayat majmuk gabungan
2.      Ayat majmuk pancangan
3.      Ayat majmuk campuran
Ayat majmuk gabungan merupakan ayat yang dibina oleh dua atau lebih klausa bebas dengan menggunakan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, serta, lalu dan sebagainya. Tanda koma (,) mungkin digunakan jika gabungan terdiri daripada tiga atau lebih klausa. Contoh ayat majmuk gabungan yang terdapat dalam Tuhfat al-Nafis ialah :
a)      Syahadan apabila sudah ia mangkat maka menggantikan kerajaannya puteranya yang bernama Sultan Abd al-Jalil Syah, dan saudaranya menjadi Yang Dipertuan Muda.
b)      Tiba-tiba datang bini Megat Seri Rama yang bunting, mengidam hendak makan nangka, lalu dipintanya sehulas kepada penghulu istana itu.
c)      Maka terpancarlah maknikamnya ke tikar peraduannya itu lalu disuruhnya telan kepada gundiknya anak laksamana bernama Encik Pong.
d)     Maka Pangeran Dipati pun membawalah anaknya yang perempuan dua orang, serta diberinya memakai dengan sederhana pakaian yang indah-indah daripada emas dan perak dan intan-intan, serta diambilkannya beberapa anak dara-dara akan pengiringnya.
e)      Maka titah baginda, “yang anakku hendak diambil oleh Pangeran Dipati itu jadi menantunya, itu sebaik-baiknya jua akan tetapinya cubalah anakku fikirkan bukanlah sudah anakku beristerikan saudaramu di Betawi, dan anakku pun sudah hendak membawa adikmu itu ke mari?”

Kata hubung yang dicondongkan seperti dan, lalu, serta dan tetapi merupakan kata hubung yang digunakan dalam membina ayat majmuk gabungan. Yang berikut pula merupakan binaan ayat majmuk pancangan. Ayat majmuk pancangan ialah ayat yang dibentuk oleh klausa yang tidak setara. Hal ini bermakna dalam ayat berkenaan terdapat satu klausa bebas atau ayat utama dan satu klausa tak bebas atau terikat yang merupakan ayat kecil. Ayat kecil dipancangkan di dalam ayat utama dengan menggunakan kata hubung seperti yang, bahawa, kerana, jika, apabila, sungguhpun dan sebagainya. Dalam binaan ayat majmuk pancangan bahasa Melayu, terdapat tiga jenis ayat iaitu pertama Ayat majmuk pancangan relatif. Kedua, ayat majmuk pancangan komplemen dan ketiga ayat majmuk pancangan keterangan. Contoh binaan ayat majmuk pancangan ini dalam Tuhfat al-Nafis adalah seperti berikut:

1.      Ayat relatif
a)      Kemudian akhir-akhirnya betul semula muafakatnya, seperti yang akan lagi datang di dalam siarah ini dengan tawarikh tahun bulannya adanya.
b)      Maka Yang Dipertuan Muda belum lagi hendak pergi, kerana ia lagi menanti petikamannya yang di dalam negeri Selangor.
c)      Adapun ia mendapat gelaran Pangeran Syarif Abd al-Rahman itu iaitu di dalam negeri Banjar, tatkala ia beristerikan anak saudara Sultan Banjar yang bernama Ratu Syahar Banun.
d)     Syahadan apabila mengkatlah Sultan Ala al-Din Riayat Syah itu, menggantikan puteranya yang bergelar Sultan Muzzafar Syah.
e)      Fasal pada menyatakan salasilah Opu Dahing Kemasi yang bergelar di dalam negeri Sambas bernama Pangeran Mangkubumi.

Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, yakni terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan berbagai-bagai jenis ayat majmuk. Ayat sedemikian biasanya panjang. Yang berikut merupakan contoh ayat majmuk campuran yang diperoleh dalam Tuhfat al-Nafis:

a)      Adapun anak yang tuanya dapat ia di dalam masa ia jadi bendahara, dijadikannya bendahara, dan anaknya yang tengah dijadikannya temenggung, dan anaknya yang bongsu dijadikannya Raja Indera Bongsu.
b)      Syahadan kata sahibul al-hikayat pada Hijrat (tahun) sanat 1138, masa itulah turun Sultan Khalifahtullah Muhammad Syah ke negeri Kampar, lalu menyuratkan sumpah setia antara raja Pagar Ruyung dengan Johor dan anak Minangkabau yang di pesisir laut.
c)      Maka apabila sampai saat yang baik, belayarlah ia dari betawi dihantar oleh saudaranya yang bernama Dahing Lolo dengan sebuah pencalang serta dagangan dari Betawi yang halus-halusnya dan yang kasar-kasarnya.
d)     Maka jawab Pangeran Dapati, “Yang saya tiada ada mana-mana sahaja yang baik kepada Ratu Bagus, kerana adalah pekerjaan saya sekali-sekali bukan perbuatan saya, akan tetapi pekerjaan ini perbuatan anak saya Raden Jaga itu, dengan tiada usul periksanya serta mengikut hawa nafsu syaitan.
e)      Syahadan ada kira-kira tujuh hari begitu Raja Kechik pun berhenti, tiada melanggar kerana lagi musyawarah dengan menterinya, kerana pada masa itu negeri Riau sudah kukuh serta dengan ramai orangnya dan dengan makmurnya.

6.2       Struktur ayat dalam Tuhfat al-Nafis
Kekuatan bahasa Melayu klasik sangat jelas apabila bahasa ini berfungsi sebagai lingua franca di daerah kepulauan Melayu sejak zaman berzaman. Sejarah juga telah membuktikan bahawa bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa perhubungan oleh pedagang-pedagang yang berdagang di kepulauan Melayu. Bahasa Melayu klasik ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Antara ciri bahasa Melayu klasik yang membezakannya daripada bahasa lain ialah dari segi struktur ayatnya. Bahasa Melayu klasik menggunakan ayat yang panjang, berulang-ulang dan berbelit. Ayatnya juga banyak menggunakan ayat pasif berbanding ayat aktif. Hal ini dapat dilihat dalam ayat yang terkandung dalam Tuhfat al-Nafis.

1.      Ayat yang panjang, berulang-ulang dan berbelit
a)      Ada kira-kira tujuh buah perahu yang besar-besar yang tahan meriam, serta beberapa pula ia mengumpulkan orang-orang Bugis serta mengaturkan juak-juaknya, dan kepala juak-juaknya, dan punggawanya dan indera gurunya adanya.

b)      Syahadan kemudian daripada itu maka tetaplah Yang Dipertuan Muda serta baginda Sultan Sulaiman di dalam negeri Riau, bersuka-sukaan dan putera-putera baginda pun sudah besar-besar belaka semuanya seperti Tengku Putih dan Tengku Hitam dan Raja Haji serta saudaranya semuanya itu sudah besar-besar belaka.

c)      Syahadan kata sahib al-hikayat adalah Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar itu satu raja yang baik perangainya jua dan suka mengasihi sanak-sanak saudaranya dan sahabat handainya, apalagi tuan sayid yang dari Arab dan tuan sayid peranakan dan suka mengasihi orang tua-tua serta hormat kepada yang tau-tua dengan pergi ziarah ke rumahnya terkadang minta musyawarah daripadanya.

Berdasarkan contoh ayat tersebut dapat dilihat dengan jelas bahawa ayat tersebut sangat panjang, terbelit-belit dan berulang-ulang. Penggunaan ayat yang panjang sehingga terdiri daripada berpuluh-puluh perkataan dalam satu ayat agak sukar untuk difahami. Selain itu, struktur binaan ayatnya yang agak tunggang-terbalik dan banyak ayat disongsangkan memerlukan pengamatan yang lebih oleh pembaca untuk memahami sesebuah teks klasik tersebut.

2.      Banyak menggunakan penanda wacana di awal ayat
a)      Syahadan maka senanglah Baginda Sultan Abd al-Rahman itu berbuat ibadat pada masa itu di dalam negeri Lingga fi al-layali wa al-ayyam.
b)      Sebermula adalah Baginda Sultan Abd al-Rahman Syah itu ialah raja yang kuat berbuat ibadat.
c)      Alkisah maka tersebutlah perkataan Yang Dipertuan Muda Muhammad Ali di dalam negeri Siak, adalah menjadi Yang Dipertuan Muda negeri Siak itu.
d)     Maka apabila sampai ke Kedah berjumpalah ia dengan Raja Kedah yang tuannya itu.
e)      Adapun Opu Dahing Cellak ialah menjadi Yang Dipertuan Muda yang kedua di dalam negeri Riau, dan segala takluk daerahnya.

Penanda wacana atau atau permulaan ayat sering kali digunakan dalam karya klasik seperti yang terdapat dalam Tuhfat al-Nafis. Kata permulaan ayat seperti syahadan, sebermula, alkisah, maka dan adapun digunakan secara meluas dalam penulisan karya klasik. Hampir di setiap perenggan terdapatnya penggunaan kata permulaan ini.

7.0              Kesimpulan
Menurut Seri Lanang Jaya et. al. (2013) karya agung Melayu adalah cetusan akal fikiran Melayu yang luar biasa. Menurutnya lagi, kita boleh melihat keluarbiasaan akal Melayu ini pada dua tahap keupayaan mentalnya, iaitu keupayaan berfikir secara kreatif melalui kaedah atau proses mental yang dapat kita sebut kaedah metafora, yakni kaedah berfikir melalui perumpamaan, perbandingan, kiasan dan tamsil ibarat, untuk menyampaikan sesuatu konsep yang abstrak dengan menggunakan sesuatu benda daripada alam nyata sebagai analoginya.
Selain itu, karya-karya agung seperti Hikayat Hang Tuah, Tuhfat al-Nafis, Bustan Al-Katibin, Cerita Lipur Lara, Hikayat Aceh, Hikayat Inderaputra, Hikayat Panji Jayeng Kusuma, Hikayat Raja Pasai dan banyak lagi memiliki falsafah yang tersendiri untuk diketengahkan. Sebagai contohnya falsafah yang terdapat dalam karya Tuhfat al-Nafis ialah falsafah Melayu dan falsafah keislaman. Falsafah Melayu melalui karya ini dapat dilihat apabila karya ini menceritakan sejarah kerajaan Riau-Lingga, sebuah kerajaan Melayu yang paling kompleks dan canggih. Dari segi kronologi, latar peristiwa meliputi jangka waktu dari awal abad ke 17 hingga pertengahan abad ke-19. Dari segi geografi pula, Tuhfat al-Nafis meliputi peristiwa dalam kalangan semua kerajaan Melayu di Semenanjung Melayu dan Kepulauan Riau-Lingga termasuklah Singapura, di Siak, di Kalimantan Barat, di Sulawesi Selatan dan di Betawi.
Buku Tuhfat al-Nafis yang merupakan karya Raja Ali Haji juga turut menyentuh mengenai unsur-unsur keislaman terutamanya dalam golongan pemerintah. Buktinya dapat kita lihat dalam Tuhfat al-Nafis ini pada halaman tujuh seperti yang berikut:

“Syahadan apabila mangkatlah Raja Besar Muda itu maka menggantikan puteranya yang bernama Raja Tengah. Syahadan apabila mangkatlah Raja Tengah itu maka menggantikan kerajaannya puteranya yang bernama Raja Kecil Besar. Syahadan kata sahibul hikayat inilah raja yang adil lagi saksama pada zaman itu, dan ialah Raja Melayu yang mula-mula masuk ugama Islam, yang bermimpikan berjumpa hadrat Nabi kita Muhammad salla Allahu ‘alaihi wasallam, yang diajar oleh Rasulullah salla Allahu ‘alaihi wasallam, dengan mengucap dua kalimat syahadat, iaitu: asyhadu al la ilaha illa’llahu, wa asyhadu anna Muhammadan Rasulu’llahi: serta terkejut daripada tidurnya, dilihatnya zakarnya sudah terkhatan.”


Rujukan
Ahmad Khair Mohd Nor (2012). Pembentukan kata dalam bahasa Melayu edisi baharu.   Kuala Lumpur : Salam Sdn. Bhd.
Ahmad Khair Mohd Nor et. al. (2012). Tatabahasa asas. Kuala Lumpur : Salam Sdn. Bhd.
Asmah Haji Omar (2009). Nahu melayu mutakhir edisi kelima. Kuala Lumpur : Dewan                  Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Safiah Karim et. al. (2008). Tatabahasa Dewan edisi ketiga. Kuala Lumpur : Dewan   Bahasa dan Pustaka.
Raja Ali Haji (1998). Tuhfat al-Nafis. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan Dewan                   Bahasa dan Pustaka.
Seri Lanang Jaya et. al. (2013). Penghayatan karya Agung Melayu. Tanjong Malim :          Universiti Pendidikan Sultan Idris.


No comments:

Post a Comment