}

Monday, 21 April 2014

KONSEP KARYA AGUNG MELAYU

KARYA AGUNG ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Kita mengenal tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.

KARYA AGUNG MELAYU ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera ini.

RETORIK DALAM TUHFAT AL-NAFIS

TUHFAT AL-NAFIS

Tuhfat al-Nafis merupakan kitab sejarah Melayu yang terpenting dalam kesusasteraan Melayu selepas Sejarah Melayu. Karya agung ini merupakan sebuah karangan sejarah, iaitu dimulakan oleh Raja Haji Ahmad, dan diteruskan hingga selesai oleh anaknya iaitu Raja Ali Haji. Tuhfat al-Nafis memaparkan tentang kebudayaan, ketinggian dan kemakmuran pedagangan kerajaan negeri Johor. Secara ringkasnya, ia menceritakan bagaimana pembabitan orang-orang Bugis bermula di Tanah Melayu.

RETORIK DALAM TUHFAT AL-NAFIS

1. Retorik pendedahan,  contohnya:


Syahadan apabila mangkatlah ia menggantikan kerajaannya puteranya yang bernama Raja Mahmud bergelar Sultan Mahmud Syah.  Maka masa kerajaan baginda inilah membunuh saudaranya itu, iaitu Raja Zainal, kerana Raja Zainal itu adalah baik parasnya cantik manis, memberi ghairat segala hati perempuan melihatnya.  Dan banyak anak-anak orang Melaka berahikan dia hingga anak-isteri orang tiadalah berketurunan mengidah Raja Zainal itu dengan bunga bergubah dan sirih bersulur.  Mana-mana yang berkenan diambilnya dan mana-mana yang tiada diberikannya kepada segala juak-juaknya.  Maka cabullah negeri Melaka  itu dengan hal yang demikian itu.  Maka menyuruhlah Sultan Mahmud itu akan seorang hambanya menikam Raja Zainal itu malam-malam pada tempat tidurnya.  Maka matilah Raja Zainal itu digemparkan oleh orang-orang negeri itu mengatakan Raja Zainal mati ditikam oleh pencuri konon adanya.

( Halaman 7:3)

2. Retorik penerangan. Contohnya:

Maka raja muda pun membunuh isterinya lalulah ia keluar mengamuk pula, kerana fikirannya daripada isterinya diambil Minangkabau diperbuatnya gundik, terlebih baik biar hilang sekali.  Kemudian Raja Muda pun mengamuklah menyerbukan dirinya kepada pihak sebelah Raja Kecik itu.  Lalu berkejar-kejaran hambat-berhambat hingga sampai ke Kayu Ana nama tempat itu.  Maka Raja Muda pun mangkatlah di situ, sebab sabur menyabur orang beramuk itu.
(Halaman 57:4)

Saturday, 12 April 2014

HIKAYAT HANG TUAH


Hikayat Hang Tuah (HHT) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur yang dikendalikan oleh Kassim Ahmad. HHT sebuah karya epik yang berbentuk prosa yang mengandungi lebih daripada 500 halaman dengan lebih kurang 164,000 patah-perkataan. HHT ini telah dihasilkan pada akhir kurun ke-17. Karya ini juga disebut Valentijin Kitab Hantoewa menurut Francois Valentijin dalam karyanya Oud en Nieuw Oost-Indien (1728). Tambahnya lagi, karya ini biasanya dinamakan oleh Sarjana Melayu Sulatas-Salatin iaitu Sultan-Sultan Melaka.

HHT merupakan sebuah epik kebangsaan. Epik ini telah menegemukakan watak Hang Tuah sebagai tokoh agung bagi bangsa Melayu dan sebagai lambing kemegahan dan kekuatan bangsa Melayu. Menurut Kassim Ahmad (1992: xvi) kebangunan, kebesaran dan kejatuhan Melaka berhubung rapat dengan tokoh Hang Tuah. Ini bermaksud, apabila Hang Tuah kecil Melaka baharu didirikan. Apabila Melaka besar dialah menjadi orang kanan bersama Bendahara, di dalam urusan pentadbiran dan di dalam urusan keselamatan di dalam negeri suaranya muktamad. Apabila ia jatuh sakit Melaka diancam oleh Portugis dan terus kalah apabila ia berundur dari perkhidmatan negara. Tidak lain, Hang Tuah ialah lambang kekuasaan dan kebesaran Melaka. Di dalam hidupnya tercatat riwayat Kerajaan Melayu Melaka dan bangsa Melayu dalam zaman Feudel yang sudah lampau. Selain daripada itu, watak Hang Tuah sebagai pahlawan yang taat setia kepada raja yang sanggup menyelami mahkota dan keris raja yang jatuh ke dalam laut.




Manuskrip Hikayat Hang Tuah
Sumber: Jabatan Warisan Negara



Sinopsis Hikayat Hang Tuah Karya Kassim Ahmad


HIKAYAT HANG TUAH
          Hikayat Hang Tuah mengisahkan mengenai kehidupan dan kepahlawanan Hang Tuah yang lebih kepada unsur mitos dan juga rekaan sahaja. Hikayat Hang Tuah mengemukakan pengalaman-pengalaman hidup yang tulin dan disuburkan unsur-unsur mitos, rekaan dan dengan membesar-besarkan peristiwa-peristiwa yang mengakibatkan Hang Tuah[1].

          Hikayat Hang Tuah menceritakan mengenai latar belakang Hang Tuah mengenai asal usul misalnya pengenalan mengenai ahli keluarga. Dang Merdu merupakan ibu kepada Hang Tuah dan ayahnya pula bernama Hang Mahmud.Hang Tuah berasal daripada Sungai Duyung di sana. Namun terdapat beberapa fakta yang menyatakan bahawa Hang Tuah tinggal di pucuk  hulu Sungai Perak dan menjadi raja.[2] Hang Tuah hanyalah golongan rakyat jelata yang biasa sahaja, ayahnya Hang Mahmud menyara keluarganya dengan berkedai  dan mencari kayu. Pada satu malam, Hang Mahmud telah bermimpi bulan turun dari langit dan cahaya memenuhi kepala anaknya Hang Tuah. Mimpi itu menandakan satu kebaikkan kepada Hang Mahmud sekeluarga. Hang Tuah berjaya menewaskan orang yang mengamuk di kampungnya, keberanian Hang Tuah amat dikagumi oleh penduduk kampung. Hang Tuah bertemu dengan beberapa kawan baru iaitu Hang Jebat, Hang Lekiu, Hang Lekir dan Hang Kasturi dan mereka berguru dengan Sang Aria Putra di Bukit Pancasula. Ilmu yang ada ini menyebolehkan mereka mempertahankan Bendahara Paduka Raja yang hampir menjadi mangsa amukan pengamuk-pengamuk. Keberanian lima bersahabat ini menyebabkan mereka dihadiahkan oleh Bendahara itu sepersalinan pakaian dan dilantik menjadi biduanda baginda.

DEFINISI DAN ETIMOLOGI MELAYU.

KONSEP MELAYU

Definisi awal istilah Melayu.


M. Ptolemy menggunakan istilah maleu-kolon dalam karyanya yang berjudul Geographike Sintaxis. Kitab Hindu Purba juga terdapat perkataan malaya-dvipa. Terdapat juga catatan orang Cina yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yue mengirimkan utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar tahun 644-645 Masihi.
                   
            Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Bhudda bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi, iaitu kerajaan Melayu di Sungai Batang dan Kerajaan Sriwijaya di Palembang. Catatan dalam kesusasteraan China menyatakan bahawa pengembara yang singgah di Nusantara mendapati bahawa bahasa yang digunakan penduduk di situ ialah bahasa K'un'-lun. Bahasa ini dipercayai oleh penyelidik sebagai bahasa Melayu kuno. Manakala sebuah patung di Padang Rocore, Batanghari bertarikh 1286 M dengan catatan perkataan "Malaya" atau "Melayu"  pada bahagian belakangnya. Oleh hal yang demikian, buku Sejarah Melayu mengaitkan perkataan Melayu dengan nama sebatang sungai yang deras alirannya, iaitu Sungai Melayu.

Definisi Melayu dari segi etimologi.

Etimologi bermaksud kajian asal usul dan sejarah sesuatu perkataan serta makna perkataan tersebut. Dari segi etimologi, perkataan Melayu berasal daripada perkataan Malaya, iaitu kependekan "hima alaya". "Alaya" bermaksud tempat  manakala "hima alaya" bermaksud tempat bersalji. Selain itu, terdapat juga perkataan Malayapura yang bermaksud "Kota Melayu" atau "kerajaan Melayu". Perkataan ini dipercayai diambil daripada perkataan Jawa kuno , "mlayu" yang bermaksud "mengembara" atau "pergi ke mana-mana". Perkataan ini dikatakan diambil dari nama sebatang sungai iaitu Sungai Melayu yang ada disebut dalam buku Sejarah Melayu. Van der Tuuk berkata, perkataan Melayu bererti "menyeberang" yang merujuk kepada orang Melayu yang menyeberang atau menukar agama daripada Hindu-Buddha kepada Islam.


Jenis-jenis retorik


Menurut Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012), retorik terbahagi
kepada enam jenis, iaitu:

a) Pemerian
Kebiasaannya retorik jenis pemerian ini hadir ketika penulis ingin melakukan penjelasan atau huraian berkaitan sesuatu idea. Retorik ini bermatlamat untuk menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar. Di antara cirri-ciri pemerian ialah dilaksanakan secara objektif, tepat dan jelas. Contohnya memberi gambaran secara realistic berdasarkan fakta yang konkrit. Kedua, bahasa yang digunakan adalah jelas dan tersusun. Struktur penulisannya juga mempunyai pendahuluan, huraian dan kesimpulan dan yang ketiga teknik ini bersifat deskriptif dan informative. Deskriptif bermaksud maklumat yang disampaikan secara huraian manakala informative pula adalah maklumat yang disampaikan secara pemberitahuan.

b) Pemujukan
Retorik pemujukan atau pengaruhan lazimnya akan melibatkan bahasa pujukan bagi mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain agar mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan. Ciri-ciri retorik pemujukan ialah menggunakan bahasa yang manis, menarik dan mementingkan kehalusan berbahasa. Hal ini bertujuan menarik khalayak berdasarkan pengaruh psikologi dengan menyatakan kehebatan atau kebaikan Sesutu yang sedang diperkatakan. Kebiasaannya kita temui retorik ini dalam pengiklanan.

c) Penerangan
Seterusnya ialah retorik penerangan. Retorik ini berfungsi untuk memberi penjelasan berkenaan sesuatu perkara dengan lebih terperinci dan tersusun misalnya dari satu langkah kepada langkah yang lain dan dari satu bahagian kepada bahagian yang seterusnya.

Thursday, 10 April 2014

TOKOH KARYA AGUNG MELAYU ( ABDUL SAMAD AL - FALIMBANI DAN MUNSYI ABDULLAH)

ABDUL SAMAD AL-FALIMBANI

Latar belakang

  • Dikenali dengan tiga nama iaitu Samad Al - Jawi Al - Falimbani, Abdul Samad bin Abdullah Al - Jawi, dan Sayyid Abdul Al - Samad bin Abdul Rahman Al- Jawi.
  • Dilahirkan pada 1704 Masihi bersamaan dengan 1116 H di Palembang, Indonesia.
  • Berasal daripada keturunan Arab sebelah bapa iaitu Syed Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahab bin Syeikh Ahmad Al - Mahdani.
  • Ayah beliau merupakan seorang ulama yang berasal dari Yaman dan seterusnya dilantik menjadi Mufti Kedah pada awal abad ke-18.

Pendidikan
  • Mendapat pendidikan asas daripada bapanya sendiri di Kedah.
  • Bapanya menghantar beliau mengaji ilmu pondok di Pattani, Thailand. Antara gurunya di Pattani ialah Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauk Bok.
  • Beliau mempelajari ilmu sufi daripada Syeikh Muhammad bin Samman di samping mendalami kitab - kitab Tasawwuf.
  • Beliau mendalami bidang Tasawwuf dengan mempelajari ilmu itu daripada Syeikh Abdul Rauf Singkel dan Syamsuddin Al - Sumaterani yang kedua - duanya berasal dari Acheh.
  • Kemudian, bapanya menghantar beliau ke Tanah Arab dan Madinah untuk mendalami ilmu agama Islam.
  • Antara teman seperguruan beliau sewaktu menuntut ilmu Adi Mekah ialah Muhammad Arsyad Al - Banjari, Abdul Wahab Bugis, dan Daud Al - Fatani yang kesemuanya menjadi ulama Nusantara yang terkenal.

Antara karya yang dihasilkan oleh beliau
  1. Zuhrah Al - Murid Fi Bayan Kalimah Al - Tauhid
  2. Hidayah Al - Salikin Fi Suluk Maslak Al - Muttaqin
  3. Sayr Al - Salikin Ila Ibadat Rabb Al - Alamin
  4. Tuhfat Al - Raghibin Fi Bayan Haqiqat Iman Al - Mukminin
  5. Al - Urwah Al - Wusqa Wa Silsilah Ulil - Ittiqa' 
  6. Ratib' Abdul Samad
  7. Zad Al - Muttqin Fi Tauhid Rabb Al - 'Alamin

Kesusasteraan Melayu

Kesusasteraan Melayu tradisional dicipta melalui dua tradisi, iaitu tradisi lisan dan tradisi tulisan. Tradisi lisan menghasilkan dua bentuk sastera, iaitu sastera berbentuk cerita dan sastera yang tidak berbentuk cerita yang diungkapkan dalam bentuk puisi dan peribahasa.

SASTERA LISAN.

Berbentuk cerita atau hikayat.

  • Cerita romantis atau lipur lara
  • Cerita binatang
  • Cerita jenaka
  • Cerita asal usul
  • Mitos dan lagenda
Tidak berbentuk cerita
  • peribahasa
  • Pantun
  • Gurindam, seloka, dan teka-teki
  • Teromba
  • Mantera, jampi, serapah
SASTERA TULISAN

Berbentuk cerita
  • Syair
  • Sastera epik
  • Sastera hikayat
  • Sastera panji dan perwayangan
  • Kisah para Nabi dan tokoh Islam
  • Sastera sejarah yang bercorak mitos dan lagenda, sejarah yang sebenar dan salasilah
Tidak berbentuk cerita
  • Sastera undang-undang
  • Sastera sains tradisional
  • Sastera metafizik/tasawuf
  • Sastera kitab (tentang ilmu agama, syariah, dan lain-lain)